Wajarkah Isteri Tidak Mentaati Suami Yang Tidak Solat

Share

Soalan :

Saya ingin bertanya beberapa soalan...

Isteri tidak mahu mendengar kata suami walaupun perkara baik kerana suami kurang bersolat (kadang2 meninggalkan solat), disebabkan itu, isteri menjadi degil dan tidak patuh pada suami. Apakah si suami tiada hak lagi menasihati isteri hanya kerana dia(si suami) kerap meninggalkan solat dan apakah si isteri berhak untuk tidak mentaati suami yang begitu?

Jawapan:

Assalamualaikum Saudara Budin.

Saya memahami dalam pertanyaan anda ini terdapat tiga hal yang berlainan.

Yang pertama: ‘permasalahan yang terjadi’ (Isteri degil dan tidak patuh kepada suami).

Dan yang keduanya ialah: posisi suami yang kurang sempurna amalan agamanya, berhakkah dia menasihati isterinya.

Dan yang ketiganya ialah: Wajarkah seorang isteri untuk tidak mentaati suami yang sedemikian.

 

Sebelum saya menjawab persoalan yang pertama itu, saya ingin menjawab persoalan yang kedua dan ketiga itu terlebih dahulu. Posisi suami yang kurang sempurna amalan agamanya, berhakkah dia menasihati isterinya. Baiklah. Ingin saya kemukakan dua hadits terlebih dahulu buat renungan kita bersama.

1. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud " Sesiapa sahaja isteri yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadap pemergiannya maka ia akan masuk syurga".

2. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud " Apabila seorang isteri telah mendirikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan ramadhan dan memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya maka diucapkan kepadanya masuklah syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki".

‘Redha’ yang dimaksudkan disitu adalah. Kematian seorang isteri itu dirasakan kehilangannya kepada suaminya. Terkenang-kenang kebaikan si isteri itu oleh suaminya. Berasa lengkap hidupnya sewaktu hayat si isteri itu berada disisinya. Maka yang demikian itu dikatakan suami itu adalah suami yang redha dengan isterinya. Selain dari tidak ada terdetik dalam hati si suami itu tadi perbuatan isterinya yang mencelakan kasih sayangnya sehingga terpahat didalam hatinya kenangan-kenangan yang menyakitkan hatinya.

Dan yang kedua, Syurga itu dijanjikan kepada isteri yang memiliki 4 perkara dalam dirinya. Malah ia bebas memasuki syurga itu dari mana-mana pintu yang ia sukai.

1. ‘mendirikan’ solat 5 waktu.

2. Berpuasa dibulan Ramadhan.

3. Memelihara ‘kehormatannya’.

4. Dan ‘MENTAATI SUAMINYA’

Tidak hendak saya huraikan yang lain-lain itu, melainkan perkara yang keempat itu sahaja. Yakni ‘MENTAATI SUAMINYA’.

Dalam mentaati suami itu tidak saya jumpai syaratnya melainkan. Taat kepada perintah suami itu selagi mana perintahnya itu tidak bertentangan dengan syarak. Maka yang demikian halnya, WAJIB keatas isteri itu mentaati suaminya. Sama ada ia sukai atau tidak sukai. Bagi pihak suami itu pula, jika ianya berkaitan dengan kehendak atau kesukaan si suami itu semata-mata. Dan harus sahaja pada pandangan agama, maka timbang rasalah wahai suami-suami keatas isteri-isteri kamu.

Namun jika ia menyangkut perkara yang wajib, halal atau haram dalam agama. Wajiblah bagi isteri-isteri itu mentaatinya. Bagi posisi suami itu pula, maka perintahkanlah dengan bijaksana dan sabar. Dan sesungguhnya suami-suami itu lebih mengenali isteri-isteri mereka itu. Dan tidak mungkinlah mereka itu akan berubah menjadi seorang yang berkeperibadian seperti yang si suami impikan jika tidak melalui proses yang panjang.

Disamping kita biasanya membicarakan dosa-dosa dan siksaan-siksaan bagi yang meninggalkan peringatan-peringatan itu. Marilah kita lihat fhadilat dan ganjaran yang menanti bagi yang mengerjakan bagai yang disuruh itu.

1. Seorang perempuan datang ke hadapan Nabi s.a.w. lalu berkata " Wahai Rasulullah s.a.w., saya adalah wakil kaum wanita untuk menghadap tuan. Berperang itu diwajibkan oleh Allah swt hanya atas kaum lelaki, jika mereka terluka maka mendapat pahala dan kalau terbunuh maka mereka adalah tetap hidup di sisi Allah swt, dan dicukupkan rezeki (dengan buah-buahan syurga). Dan kami kaum wanita selalu melakukan kewajipan terhadap mereka (iaitu melayani mereka dan membantu keperluan mereka) maka apakah kami boleh ikut memperolehi pahala berperang itu?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud " Sampaikanlah kepada wanita-wanita yang kamu jumpa bahawa taat kepada suami dengan penuh kesedaran maka pahalanya seimbang dengan pahala perang membela agama Allah swt, tetapi sedikit sekali daripada kamu sekalian yang menjalankannya"

PAHALA MENTAATI SEORANG SUAMI ITU BAGI ISTERI-ISTERI INI ADALAH SEPERTI PAHALA MUJAHIDIN YANG SYAHID DIDALAM MEMBELA AGAMA ALLAH. Tetapi dinyatakan juga, SEDIKIT SEKALI DARIPADA KAMU SEKELIAN YANG MENJALANKANNYA.

Wajib bagi seorang isteri :

  1. Merendahkan pandangannya di hadapan suaminya.
  2. Tidak khianat terhadap suaminya ketika ketiadaannya termasuk juga hartanya.
  3. Menunaikan hajat suami bila diajak oleh suaminya biarpun sewaktu sibuk atau susah (Rasulullah mentamsilkan walau berada di punggung unta sekalipun)
  4. Meminta izin suami untuk keluar dari rumahnya.

Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: " 4 perempuan yang berada di neraka ialah

1. Perempuan yang kotor mulutnya terhadap suaminya; suaminya tiada di rumah dia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya bersamanya ia mengherdiknya.

2. Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang di luar kemampuan si suami.

3. Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia enggan berbakti kepada Allah swt dan enggan berbakti kepada sumainya ( seorang isteri yang bersifat begini akan dilaknati Allah swt kecuali bertaubat)

4. Wanita yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar rumah dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik kaum lelaki).

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Siti Fatimah r.a.: " Ya Fatimah, apabila seorang wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya maka Allah swt akan memberinya minum dari air syurga yang mengalir di sungai-sungainya dan dijadikan kuburnya menjadi sebuah taman yang indah dari taman-taman syurga."

Sebenarnya yang demikian ini pernah saya sentuh dalam tulisan saya yang berjodol MENGUMPAT SUAMI SENDIRI silakan baca.

Kesimpulan kepada persoalan ini. Berhak atau tidak yang suami yang demikian itu menasihati isterinya. Maka saya rasa ianya cukup jelas dan terang. Demikian banyaknya peringatan berkenaan wajibnya isteri mentaati suaminya. Mentaati perintah-perintah suaminya(selagi ia tidak bertentangan dengan syarak). Dan sekian banyak juga hadits fadhail berkenaan kedudukan isteri-isteri yang demikian. Maka terlebihlah lagi kewajipan itu terpikul keatas bahu suaminya.

“Anjurkanlah kebaikan itu kepada orang lain, meskipun engkau sendiri masih lagi belum melakukannya. Dan cegahlah kemungkaran itu dari terus dilakukan oleh orang lain, sedangkan engkau sendiri masih juga belum meninggalkannya lagi.”

Saya kira saya telah menjawab pertanyaan saudara berkenaan : Wajarkah seorang isteri itu untuk tidak mentaati perintah suami yang kerap meninggalkan sembahyangnya. Jawapannya adalah tidak wajar sama sekali. Saya andaikan, saudara Budin ini sebenarnya telah mengetahui jawapannya. Mungkin Cuma sekadar mencari hujah dan dalilnya bagi dijadikan sandaran.

Tetapi membiarkan orang lain sahaja yang bermotivasi dalam memperolehi pahala bukanlah sifat orang beriman. Maka dengan yang demikian. Seorang suami yang baik ialah suami yang terlebih dahulu mengerjakan apa yang ia perintahkan. Seperti contohnya dia memerintahkan isterinya supaya bersembahyang, atau berpuasa dibulan ramadhan. Bukankah janggal lakunya, sedang dia sendiri memandang ringan pekerjaan sembahyang itu. Atau dia(suami) sendiri tidak berpuasa. Namun tidak saya sentuh yang demikian itu disini dengan banyak kerana pokok pertanyaan saudara sebelumnya ialah BERHAKKAH SAUDARA MENASIHATI ISTERI SAUDARA, DAN WAJARKAH ISTERI SAUDARA UNTUK TIDAK MENTAATINYA.

Tetapi jika saudara bertanyakan pendapat saya berkenaan dengan apakah yang terbaik untuk dilakukan demi mendidik isteri dan keluarga saudara kearah yang lebih baik. Maka akan saya tekankan berdasarkan hadits berkaitan dengan “Perjanjian Hudaibiyah”

Masihkah ingat saudara pada kisah berkenaan. Kerana perjanjian gencatan senjata diantara Mekah dan Madinah, kelansungannya ibadah haji pada tahun itu tidak jadi dikerjakan. Ketika Rasulullah s.a.w. dan rombongan pulang kembali ke Madinah, turunlah wahyu Allah dalam Al-Fath 27: "Sungguh Allah membenarkan mimpi rasul-Nya dengan sebenar-benarnya, bahwa kamu sekalian pasti akan memasuki Masjid al-Haram insya Allah dengan aman. Kamu akan mencukur kepalamu atau menggunting rambut (tahallul merampungkan umrah) dengan tidak merasa takut. Dia mengetahui apa yang tidak kamu ketahui, dan Dia menjadikan selain itu kemenangan yang dekat!"

Apa yang saya hendak sentuh disini adalah reaksi para sahabat. Sedangkan ramai diantara mereka yang berasa tidak setuju dengan perjanjian hudaibiyah. Pendapat mereka syarat yang terdapat didalamnya itu tidak adil dan berat sebelah(sila rujuk kisah tersebut). Hal demikian membuat gusar kaum muslimin lainnya. Umar yang paling tidak sabar. Ia menemui Abu Bakar. “Abu Bakar, bukankah dia Rasulullah. Bukankah kita ini Muslimin? Mengapa kita mau direndahkan dalam soal agama kita?”. Umar bahkan menyampaikan itu langsung pada Muhammad SAW. Dan Nabi SAW dengan sabar mendengarkan Umar r.a. Namun ia kemudian menutup pembicaraan dengan kalimat: “Saya hamba Allah dan Rasul-Nya. Saya tak akan melanggar perintah-Nya, dan Dia tidak akan menyesatkan saya.”

Lalu mereka(Sahabat) melengah-lengahkan dalam perkara menyembelih binatang korban dan bercukur sebagai dam atau denda untuk haji yang tidak jadi itu. Lalu fenomena ini menjadikan Rasulullah SAW sangat susah hati. Baginda kuatir Allah akan menurunkan bala keatas umatnya. Lalu perasaannya itu diluahkan kepada isterinya Aisyah. Dan Aisyah berkata, “bukankah baik jika engkau yang melakukannya terlebih dahulu ya Rasulullah…”

Lalu Rasulullah SAW mengambil saranan isterinya itu. Dan apabila para sahabat yang lain melihat perbuatan Nabi SAW itu, maka timbullah rasa malu dalam diri mereka. Lalu mereka telah mengikutnya.

Yang saya hendak perlihatkan disini adalah: KEPIMPINAN ITU HARUSLAH MELALUI TAULADANNYA. Saya tidak menyatakan perbuatan saudara Budin menasihati isteri saudara itu tidak bagus. Tetapi apa yang saya maksudkan ialah, bukankah lebih elok jika semua itu disusuli dengan tauladannya sekali?

Dan kembali kepada permasalahan yang pertama: (Isteri degil dan tidak patuh kepada suami).

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka Wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasehatilah mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (QS. An-Nisa 34)

Dan seorang wanita itu dijadikan dari tulang sumbi yang bengkok, dan yang paling bengkok diantaranya adalah yang paling atas. Maka jangan engkau luruskan ia, kelak ia akan patah. Dan jangan engkau biarkan ia bergitu kerana sesungguhnya ia bengkok. Tetapi bijaksanalah, cermat dan kasih sayanglah. Lalu engkau menafaatkan ‘bengkoknya’ itu dengan sebaik-baiknya.

Perempuan. Walau sedegil mana sekalipun. mereka sebenarnya tetaplah lembut hatinya. Jadi bersabarlah. Kerana sabar itu lebih baik dalam segala pekerjaan.

 

 

Add comment


Security code
Refresh